Peristiwa 13 Mei 1969: Monumen Berdarah Sebagai Cermin Zaman

 


13 Mei 1969 tetap relevan untuk diingati dan dicermati lekukan sejarahnya walaupun jumlah korbannya bukanlah mencecah puluhan ribu mangsa seperti tragedi 'ketupat berdarah' di Indonesia, pergaduhan etnik di Maunday, sittwe di Myanmar, konflik Singhalese-Tamil di Sri Langka, Tragedi Fiji 1987 yang membawa rampasan kuasa Mejar Rabuka dan lain - lain pergeseran kaum. Angka korban bergantung kepada kecekapan pihak keselamatan menguruskan konflik, manakala pengajarannya daripada tragedi ini wajib diberi perhatian. 

Sejarah bukanlah sekadar untuk tatapan dan dihafal garis masa perjalanan dengan peristiwa, tokoh - tokoh, asal muasal sesuatu peristiwa. Apa yang paling penting adalah bagaimana untuk mengambil ibrah dan mengelakkan perkara sama terus berulang kesilapan silamnya. Hari yang suram kini genap 53 tahun berlakunya Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969. Peristiwa yang merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia, simbol rapuhnya perpaduan kaum serta tipisnya tahap kesabaran jika provokasi isu kaum berterusan. 

Tanggal 13 Mei 1969 telah berlakunya rusuhan kaum yang mengakibatkan banyak nyawa telah terkorban, berlaku kecederaan, hilang rasa percaya dan kemusnahan harta benda. Tragedi ini mempunyai kaitan secara langsung dengan keputusan pilihan raya umum 1969, lonjakan pengaruh parti cauvinis Cina serta hilang majoriti dua pertiga parti PERIKATAN di DUN Selangor ketika itu. Faktor hiliran yang lain juga agak rencam menjadi motor pencetus kejadian.  

Perarakan kemenangan sebagai pencetus provokasi besar yang membakar kemarahan kaum Melayu, sebahagian etnik Cina telah berarak dengan mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi di Kuala Lumpur. Jeritan, makian, sumpah seranah adalah ramuan mujarab bagi dua pihak yang semakin menipis kesabaran. Orang Melayu dan perarakan etnik Cina berkumpul di hadapan rumah Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris dan ketika berkumpul dalam keadaan bersemangat itu, bergentayangan cerita - cerita tentang kebiadapan segelintir orang Cina tersebar dan memulakan babak rusuhan. Tragedi mula tercetus dengan Kuala Lumpur menjulang asap dan api kemarahan, pembunuhan dan keadaan kian tidak terkawal. 

Tragedi 13 Mei yang telah mencipta sejarah buruk bagi Malaysia ini telah memberikan banyak pengajaran kepada negara dan juga rakyat, namun semakin lama jarak masa, semakin ia dilupakan terutamanya generasi muda dan pemimpin yang bertunjangkan etnosentrisme. 

Lebih setengah abad lalu, negara ini pernah bersimbah darah, Kuala Lumpur pernah terbakar dengan noda politik komunal (perkauman) yang parah. Keharmonian dan keseimbangan politik dirubah semula dengan penubuhan Barisan Nasional yang menyaksikan penyertaan PAS dan banyak parti komponen yang lain. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digubal untuk merapatkan jurang ekonomi Melayu dan bukan Melayu. Langkah - langkah pencegahan diatur untuk mengekang suara perkauman kerana negara berbilang kaum ini sangat rapuh kesepakatan kaumnya. 

Jauhi pemimpin cauvinis dan yang tidak menghormati kontrak sosial negara ini! 13 MEI AKAN BERULANG KEMBALI JIKA KITA TIDAK BERCERMINKAN SEJARAH LALU!

Comments

Popular posts from this blog

Sasterawan Negara: Pejuang Karya Sastera

Penjara Pudu - Masihkah Kau Ingat Lagi?

Tragedi Pondok Pak Ya