Warisan Kebangsaan: Permainan Tradisi

 Malaysia kaya dengan warisan kebudayaan yang sangat unik dan menarik. Warisan dalam budaya merangkumi makanan, adat dan permainan tradisi yang terhasil dari asimilasi pelbagai kaum masyarakat Malaysia. Permainan tradisi secara amnya terdiri daripada permainan anjung dan permainan laman. Permainan anjung termasuklah batu seremban, congkak, tutup botol, dam aji dan banyak lagi. Manakala, permainan laman pula seperti galah panjang, ketinting, gasing, baling selipar, konda kondi, rebut negeri dan lain - lain. 

Kebanyakan permainan dimainkan secara berkumpulan dan hal ini mewujudkan interaksi sosial serta merapatkan hubungan di antara ahli masyarakat, Pada suatu masa dahulu, aktiviti permainan merupakan suatu aktiviti senggang yang dijalnkan dengan meriah seakan - akan pesta keramaian. Penduduk kampung dari semua peringkat umur turun beramai - ramai sama ada untuk menyertai pertandingan atau sebagai penyokong dalam suasana pertandingan yang sihat. 

Pada era gajet dan teknologi hari ini, permainan tradisional yang dikenali sebagai sukan rakyat semakin kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Generasi baru hari ini tidak dapat menikmati keseronokan berlari - lari di padang yang luas dan mengeluarkan peluh. Kekangan ruang permainan mahupun kebimbangan terhadap jenayah sosial menyebabkan kanak - kanak kini tidak bebas untuk bermain seperti generasi sebelum ini. 

Antara senarai permainan tradisional yang telah diangat sebagai Warisan Kebangsaan ialah congkak, gasing, Wau Tradisi Malaysia, dam, galah panjang, katuk keli, ketinting, batu seremban, sepak raga dan banyak lagi. 

Congkak

Congkak adalah sejenis permainan anjung atau permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang atau lubang di atas tanah. Buahnya terdiri daripada biji asam jawa, biji saga, biji salak, biji getah atau batuan kecil. Permainan ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang - pedagang Melayu Polinesia pada abad ke-15


Gasing

Permainan gasing amat popular di Semenanjung Malaysia terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan dan Melaka. Terdapat banyak jenis gasing yang terdapat di Malaysia, antaranya ialah gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing Melayu, gasing benang dan banyak lagi. Orang dewasa dan kanak - kanak boleh bermain gasing mengikut saiz gasing yang bersesuaian. Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri pula dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. 


Wau Tradisi Malaysia

Wau adalah satu permainan masa lapang rakyat yang mempunyai ciri - ciri keseniannya tersendiri. Bagi masyarakat nelayan pula, wau dimainkan sebagai persediaan ke laut, untuk mengetahui sama ada cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani untuk membuat persediaan menghadapi musim bendang seterusnya. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi. Wau diperbuat daripada buluh yang raut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kemunculan nama wau juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi 'wau', 'wau' dan 'wau' secara berirama. 

Galah Panjang

Galah panjang adalah permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah dan melibatkan dua pasukan lawan (kumpulan penyerang dan penghadang) yang ditentukan melalui balingan syiling. Ia merupakan adaptasi daripada sistem pertahanan negara, iaitu menyusup ke dalam dan berpatah balik, serta melakukan kemahiran strategi dan kepantasan. Setiap kumpulan sekurang - kurangnya mempunyai 4 orang pemain. 


Comments

Popular posts from this blog

Sasterawan Negara: Pejuang Karya Sastera

Penjara Pudu - Masihkah Kau Ingat Lagi?

Tragedi Pondok Pak Ya