Sastera dan Masa Depan
"Umumnya, tiada siapa yang mengetahui persis apakah yang akan benar - benar terjadi pada masa hadapan, termasuklah yang akan terjadi kepada sastera Melayu"
Barangkali, istilah yang jarang digunakan atau didengari ialah istilah korpus persuratan yang merujuk himpunan ilmu dan pengetahuan dalam hal yang berkaitan dengan sastera lisan atau tulisan. Dalam konteks kesusasteraan Melayu pula, terdapat dua jenis korpus persuratan yang sering diperkatakan, iaitu korpus persuratan kesusasteraan tradisional dan kesusasteraan moden.
Korpus persuratan kesusasteraan tradsional, lisan dan tulisan terdiri daripada karya sastera seperti pantun, syair, nazam, seloka, teromba, cerita hikayat, cerita panji dan sebagainya (Kamus Dewan Perdana, 2020). Manakala, korpus persuratan kesusasteraan moden mencakupi karya sastera seperti sajak, cerpen, novel, drama serta karya lain yang mempunyai ciri - ciri moden dan menggunakan sistem tulisan.
Tulisan ini akan membicarakan masa hadapan sastera Melayu dengan melihat dua persoalan utama, yakni: Adakah sastera Melayu mempunyai masa hadapan? Atau apakah yang akan berlaku kepada sastera Melayu pada masa hadapan?
Keberadaan sastera pada masa hadapan amat dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi, politik, perundangan, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan. Keadaan budaya dan sosial pada masa hadapan akan memberi kesan kepada sastera dan pengkaryanya kerana melibatkan gaya hidup dan cita rasa masyarakat yang lebih dipengaruhi oleh perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat.
Untuk memastikan sastera terus berkembang maju dan tetap relevan, penghasilan karya kreatif secara adaptasi atau alih wacana perlu diperhebatkan. Kaedah didik hibur dan interaktif dalam menggembangkan dan menyebarluaskan karya sastera perlu menjadi 'trend' pada masa hadapan.
Comments
Post a Comment