Sastera Melayu Wadah Perpaduan!
Bidang sastera selalu juga ada isu politik tetapi dalam sastera tidak ada politik kepartian. Justeru, sastera mampu mengeratkan perpaduan kaum di negara ini berikutan perpecahan akibat fahaman politik. Walaupun ada dalam kalangan orang sastera terlibat dalam politik tetapi mereka tidaklah terbawa - bawa dalam penulisan dan kegiatan sastera.
Oleh itu, sastera mampu menjana perpaduan kaum yang utuh dan padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Melalui penulisan dan pelbagai kegiatan sastera, rakyat dapat disatukan dan menjadi wadah ke arah perpaduan.
Karya - karya sastera di negara ini banyak menjurus ke arah perpaduan kaum melalui tema, watak, latar masyarakat dan latar kehidupan. Perjuangan sastera lebih ke arah menyatupadukan kaum, kehidupan yang harmoni dan juga menerapkan rasa kemanusiaan ke arah pembentukan tamadun bangsa. Perkara ini boleh dilihat dan didapati melalui hasil karya pengarang besar seperti Ishak Haji Muhammad (Pak sako), Keris Mas, Usman awang, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan dan beberapa penulis lain.
Sebagai contohnya, ia dapat dilihat menerusi karya - karya selepas merdeka dan dalam usaha mengisi kemerdekaan negara seperti kata - kata Usman Awang dalam puisi Jiwa Hamba, iaitu, "Di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka."
Karya - karya Usman Awang banyak menyuarakan perpaduan kaum dengan pemikiran yang peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat di negara ini. Penglibatan atau komitmen Usman Awang sebagai pelapor karya yang sarat dengan perpaduan dan amanat yang ingin disampaikan sangat jelas. Contoh sajak beliau ialah, Pemuda dan Gadis Tionghua, Anak Jiran Tionghua, Penjual Pisang Di Kaki Lima (kepada Ibu tua Tionghua), Malam Penghabisan, Suasana (Serentak Dua Hari Raya), Kambing Hitam, Sahabatku (Kepada Dr. MK. Rajakumar), naskhah drama Tamu Bukit Kenny dan beberapa karya lain.
Menurut Usman Awang, "Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir dan timbul daripada masyarakat dan perjuangan rakyatlah yang memulakannya."
Comments
Post a Comment