Warisan Budaya Negara
Warisan dan budaya tanah air adalah khazanah tidak ternilai yang mesti dilindungi dan dipelihara supaya ia terus menjadi kebanggaan semua. Ia bakal menjadi tatapan generasi seterusnya kerana tamadun serta aspek sejarah yang lampau amat penting dalam pembentukan identiti bangsa dan negara.
Baru - baru ini kita menyaksikan bagaimana dua tokoh dunia korporat dan pencinta budaya bergerak sehala untuk memastikan warisan dapat dikekalkan dan dipelihara. Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air diasaskan oleh Yayasan al-Bukhary dengan kerjasama Yayasan Budi, yang masing - masing diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari dan Tan Sri Dr Rais Yatim. Ia dilancarkan di Muzium Kesenian Islam Antarabangsa dan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia adalah satu langkah yang amat diperlukan kerana kita perlu mengkaji fakta sejarah secara empirikal dan dilihat dari pandangan kaca mata kita sendiri, bukannya apa yang disogok dan dikatakan penjajah atau mereka terdahulu.
Nilai budaya bukanlah satu penghalang pemodenan. Malah, lagi tinggi budaya bangsa, bertambah majulah negara. Berpegang kepada adat resam dan kepelbagaian bangsa memberikan satu identiti kukuh yang dapat memperkasa jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Ayuh bersama menjaga Warisan Budaya Negara!
Comments
Post a Comment